Microsoft Word bukan saja mempunyai banyak ciri yang anda mungkin mahukan, ia membolehkan anda menyesuaikan antara mukanya agar ciri-ciri itu mudah dicari. Berikut ialah lima cara untuk menjadikan Microsoft Word milik anda.
1. Ringkaskan Ribbon
Ribbon (atau dikenali bar alat) pada bahagian atas setiap tetingkap Microsoft Word mengandungi pelbagai jenis butang dan kawalan. Namun, anda hanya akan menggunakan beberapa butang saja secara kerap. Kemaskan pandangan anda dengan pergi ke Word > Preferences > Ribbon & Toolbar, kemudian buang tanda semak pada tindakan atau tab yang jarang digunakan dalam senarai Customize the Ribbon.
Panduan pro: Bagi mewujudkan tab baharu dengan perintah kegemaran anda, klik butang tambah.

2. Sesuaikan capaian segera
Quick Access Toolbar yang terletak pada sebelah kiri nama dokumen dalam bar tajuk Microsoft Word menyediakan akses satu klik untuk perintah lazim seperti Save (Simpan), Undo (Buat Asal), Repeat (Ulang), and Print (Cetak). Klik anak panah bawah untuk membolehkan lebih banyak pilihan seperti Spelling & Grammar (Ejaan & Tatabahasa) atau tambah sebarang perintah pada bar alat ini dengan pergi ke Word > Preferences > Ribbon & Toolbar dan klik Quick Access Toolbar.
3. Ambil jalan pintas
Microsoft Word menawarkan pelbagai jenis pintasan papan kekunci yang boleh disesuaikan.
Pilih Tools > Customize Keyboard, kemudian pilih perintah dan klik ke dalam medan “Press new keyboard shortcuts”. Masukkan ketukan kekunci, kemudian klik Assign. (Microsoft Word akan memberi peringatan jika anda memasukkan kekunci yang telah digunakan untuk perintah lain.)

4. Menulis dengan gaya
Gaya memudahkan anda meletakkan pemformatan pada teks serupa. Contohnya, daripada menetapkan jenis fon dan warna pada setiap pengepala, anda boleh melaraskan gaya Header untuk menukar semuanya sekali gus.
Microsoft Word menyediakan pelbagai stok gaya untuk pengepala, pengaki dan sebagainya. Klik butang Style Pane pada tab Home untuk melihat pilihan yang paling lazim. Bagi melihat lebih banyak pilihan, ubah “List: Recommended” kepada “List: All Styles”. Bagi mewujudkan gaya tersuai, pilih Format > Style.

5. Terus berfokus
Jika anda mendapati semua butang, menu dan tab mengganggu pandangan anda semasa menulis, dayakan mod Focus Microsoft Word (Control-Command-Shift-F atau View > Focus). Microsoft Word akan dipaparkan pada skrin penuh dan menyembunyikan semuanya kecuali dokumen semasa anda. Bagi mendedahkan semua menu dan bar alat kembali, hanya gerakkan penunjuk anda ke bahagian atas skrin. Bagi kiraan kata dan pilihan pandangan, gerakkan penunjuk ke bahagian bawah skrin.