

Microsoft 365: Kunci Kolaborasi
Microsoft 365 kini berfungsi merentasi platform.
Microsoft 365 boleh didapati dalam Mac App Store—dan langganan 365 akan membenarkan anda mengakses keseluruhan ciri yang disediakan pada sebarang platform yang digunakan. Untuk melanggan, log masuk ke dalam mana-mana app 365 dan langgan. Berikut adalah beberapa cara untuk menghasilkan dan berkolaborasi menggunakan app desktop.
Bekerjasama dapat menghasilkan kerja yang baik. Microsoft 365 kini berkongsi kod yang sama merentasi semua platform, sekali gus membolehkan pengguna 365 pada Mac, iOS dan Windows dapat bekerjasama dengan lancar dalam masa nyata.
Perubahan pada dokumen dalam Microsoft Word dan Microsoft PowerPoint dikemas kini secara serta-merta bagi semua rakan kolaborasi bersama, sementara lembaran Microsoft Excel akan disegarkan semula dengan pantas selepas pengarang membuat perubahan. Suntingan akan disimpan secara auto dalam cloud dan anda boleh menyemak semula dengan mudah serta kembali ke versi sebelumnya. Kini, terdapat juga pilihan berbual dalam versi desktop bagi app ini untuk perbualan yang pantas.

“Microsoft sukakan Mac,” ujar Rob Howard, Pengarah Kanan Pemasaran Microsoft bagi Microsoft 365. “Kami komited terhadap Mac sebagai satu titik penting dan telah menyuntik jumlah pelaburan yang besar dalam platform ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.” Dengan asas kod yang dinaik taraf, pengguna Mac akan mendapat ciri terkini secara lebih kerap. Pasukan beliau juga bercadang untuk mengeluarkan ciri baharu setiap bulan untuk pelanggan 365.
Ciri-ciri kolaborasi merupakan satu daripada kebaikan bagi pendekatan yang diperbaharui ini, dan lebih banyak lagi akan dihasilkan dalam masa akan datang. Bagi memulakan kerja pengarangan bersama, pastikan anda mempunyai langganan Microsoft 365 dan dokumen anda disimpan dalam OneDrive atau SharePoint. Kemudian klik butang Share pada sudut kanan atas dalam dokumen Word, PowerPoint atau Excel, dan jemput orang lain untuk bekerjasama. Mereka akan menerima e-mel berserta pautan untuk mengakses fail pada desktop atau peranti mudah alih.
Berikut merupakan penerangan ringkas tentang ciri perkongsian dalam set ini.
Menulis bersama dalam Word

Apabila rakan kolaborasi bersama-sama menyertai dokumen Word anda, potret atau singkatan nama mereka akan muncul pada sudut atas kanan tetingkap. Dalam dokumen pula, anda akan nampak bendera kecil yang memaparkan nama dan lokasi kursor mereka, di mana suntingan mereka akan muncul secara masa nyata ketika mereka sedang menaip.
Tetingkap perbualan merupakan cara paling ideal untuk mengajukan soalan ringkas kepada kumpulan. Perlu diingatkan bahawa perbualan hanya menyokong pengguna desktop sahaja buat masa ini dan sejarahnya tidak akan disimpan. Jika anda perlu membuat lebih banyak nota kekal, anda hanya perlu tambahkannya sebagai komen pada dokumen.
Menghasilkan PowerPoint untuk dikongsi

Dalam PowerPoint, mudah untuk melihat perubahan terkini apabila anda membuka dokumen: Slaid yang telah disunting diserlahkan dengan warna turquoise dalam tetingkap imej kecil. Klik pada salah satu tetingkap dan imej kecil akan membuka slaid penuh dengan perubahan khusus yang telah ditandakan dengan jelas.
Menerusi autosimpan yang didayakan pada dokumen PowerPoint yang dikongsi, semua suntingan akan muncul secara masa nyata. Bagi mengelakkan tulisan yang bertindan antara satu sama lain, hanya seorang rakan kolaborasi bersama sahaja yang boleh membuat perubahan dalam kawasan yang boleh disunting dalam satu-satu masa. Apabila satu kotak sedang disunting, sempadan berwarna terang di sekelilingnya akan memberitahu anda bahawa ia telah dikunci.
Semasa menyimpan dokumen, anda akan diingatkan tentang sebarang perubahan yang menimbulkan konflik agar anda boleh menyelesaikan masalah itu. Akses versi yang terdahulu dengan mudah menerusi klik pada butang Activity, yang kelihatan seperti jam dengan anak panah melawan arah jam.
Kolaborasi pada Excel
Seperti Word dan PowerPoint, setiap kursor milik rakan kolaborasi bersama ditandakan dengan bendera dalam dokumen, tetapi Excel menawarkan ciri yang amat membantu: Apabila anda klik pada potret seseorang di sudut atas tetingkap, anda boleh klik menu untuk terus pergi ke kotak yang sedang mereka edit atau gunakan pada waktu itu. Langkah ini amat membantu bagi dokumen bersaiz besar atau yang mempunyai berbilang tab, di mana kotak yang ditandakan mungkin berada di luar lingkungan pandangan anda. Jika semua orang bekerja dalam dokumen yang didayakan untuk autosimpan, perubahan akan muncul pada Excel dalam masa yang singkat. Jika anda perlu merujuk kembali dokumen yang terdahulu atas tujuan tertentu, pergi ke File > Restore > Browse Version History.
Langganan Microsoft 365 anda memberikan anda akses penuh kepada semua app dan ciri Microsoft 365 merentas mana-mana platform. Untuk melanggan, daftar masuk ke dalam mana-mana app 365 dan naik taraf.