Microsoft Word memudahkan anda untuk berkolaborasi dengan rakan sekerja, rakan sekelas dan juga klien pada sebuah dokumen. Bukan sahaja berbilang individu boleh mengedit fail dalam masa nyata, Microsoft Word boleh menyorotkan setiap perubahan (serta siapa yang membuat perubahan itu) agar anda boleh menerima atau menolak setiap satunya dengan pantas.
Untuk mengaktifkan penjejak perubahan, pergi ke tab Review, kemudian togol Track Changes kepada On.
Berikut merupakan tiga cara untuk memanfaatkan penjejak perubahan dengan lebih baik.

Sesuaikan pandangan anda
Setelah Track Changes diaktifkan, anda akan melihat setiap edit secara lalai, tapi anda boleh membuatkan Microsoft Word menyorot jenis edit yang tertentu saja dengan mengklik Review pada bar alat, kemudian Markup Options.
Buang semua tanda semak kecuali Formatting untuk melihat setiap perubahan sehingga ke penggayaan, seperti fon dan jarak baris. Klik dan masukkan tanda semak pada Insertions and Deletions untuk menyorotkan perubahan pada teks.
Jika berbilang individu mengusahakan dokumen yang sama, anda boleh melihat edit dan komen yang dilakukan oleh individu tertentu: Pilih Reviewers, kemudian masukkan atau buang tanda semak pada nama yang berkenaan.
Malah anda boleh menyesuaikan bagaimana Microsoft Word menyorotkan pelbagai jenis perubahan dengan pergi ke Markup Options > Preferences. Contohnya, tetapkan satu warna pada penyelitan (insertion) dan satu lagi warna untuk pemadaman (deletion), ataupun tetapkan warna pada kolaborator yang terlibat untuk melihat sekali imbas perubahan yang mereka lakukan.
Semak dengan pantas
Bagi melakukan kerja mengedit secara efisien, klik anak panah bersebelahan Accept atau Reject dan pilih Accept/Reject and Move to Next. Microsoft Word akan membuat perubahan yang anda terima dan beralih ke edit seterusnya yang perlu anda semak.
Bagi mempratonton dokumen bagaikan semua edit telah diterima, klik All Markup dalam bar alat dan tukarkan kepada No Markup. Jika anda berpuas hati dengan semuanya, klik anak panah bersebelahan Accept, kemudian pilih Accept All Changes.
Petua pakar: Jika anda memilih ayat, perenggan atau keseluruhan muka surat bagi teks itu, penggunaan menu Accept atau Reject akan mengaplikasikan tindakan itu pada setiap edit dalam pilihan anda.

Bandingkan dan bezakan
Terlupa untuk mengaktifkan penjejak perubahan? Usah bimbang! Jika anda memiliki versi awal dokumen itu, gunakan ciri Compare Documents dalam Microsoft Word.
Pilih Tools > Track Changes > Compare Documents dan pilih dokumen versi asal serta semakan. Microsoft Word akan mewujudkan dokumen baharu dengan semua perubahan disorotkan. Anda boleh menerima atau menolak setiap satunya seolah-olah anda mengaktifkan penjejak perubahan sejak awal.