SOROTAN PEMBANGUN

Dia Membawanya ke Tahap Baharu

Cara Mike Anderson cuba menukar industri permainan untuk kita semua.

Permainan teka-teki perubahan perspektif Monument Valley berkisar pada penciptaan jalan anda sendiri—walaupun jika pada mulanya, jalan itu kabur.

Mike Anderson patut tahu. Sebagai penerbit di Ustwo Games, beliau telah meluangkan banyak masa menerima anugerah dengan lembut mesra untuk permainan hit tidak terjangkanya yang indah, yang melihat anda memutar landskap untuk membantu seorang puteri bernama Ida mendaki gunung yang semakin tinggi. Setiap peringkat berwarna pastel ialah ilusi optik yang boleh dimain. Anda boleh menaikkan atau menurunkan platform, ataupun memutar tanah yang dijejaki Ida. Monument Valley mendapat sambutan baik daripada pemain dan pengkritik—di samping menerima Anugerah British Academy of Film and Television (BAFTA).

Anderson tidak akan lupa acara pakaian formal yang glamor untuk upacara BAFTA.

"Pada petang itu, saya perasan yang saya satu-satunya orang Hitam di dalam bilik. Terdapat lebih ramai pelayan berkulit Hitam daripada pembangun berkulit Hitam," katanya.

"Ketika saya masih berada di tingkat bawah bangunan, saya masih ingat yang orang di sekeliling saya datangnya daripada pelbagai asal usul. Tapi setiap tingkat yang saya naik selepas itu, mereka beransur-ansur menjadi kurang berbeza."

Lakaran awal untuk permainan teka-teki Ustwo, Monument Valley, yang mendapat sambutan hebat.

Bagi Anderson, memupuk semangat komuniti yang berbilang kaum bukan sahaja sihat untuk industri—malah merupakan cara untuk mencipta permainan yang lebih baik dan lebih asli.

"Salah satu perkara yang digemari ramai tentang Monument Valley ialah cara kami mengambil pengaruh dari seluruh dunia. Ia sama seperti cara orang berasa kagum melihat pengaruh Afrika tradisional dalam Black Panther oleh Marvel. Kostum serta visualnya kelihatan begitu baharu dan segar. Jika lebih ramai pembangun mengikuti cara pemikiran itu, kami pasti boleh mendapatkan pengalaman baharu yang menakjubkan."

Anda boleh menjumpai pendekatan itu dalam Monument Valley 2, susulan yang menerokai tema perpisahan, pertemuan semula dan pertumbuhan. Pengaruh-pengaruhnya datang dari hampir mana-mana sahaja, kata Anderson lagi. Palet warna cerah dalam video "Super Bass" karya Nicki Minaj mengilhamkan istana terapung dalam bab Sunken City permainan tersebut. Warna merah jambu dan hijau kebiruan Chapter V: The Archipelago mengingatkan kembali rupa pengenalan Kim Chi, bintang RuPaul's Drag Race.

Unsur budaya Sepanyol boleh dilihat di seluruh permainan pengembaraan Ustwo yang menawan, Alba: A Wildlife Adventure.

Unsur global turut diselitkan ke dalam keluaran pertama studio tersebut untuk Apple Arcade, Alba: A Wildlife Adventure, yang berkisar tentang seorang pengembara muda yang memulakan penerokaannya dan akhirnya memulihara sebuah pulau Mediterranean. Pengaruh budaya Sepanyol tersendiri permainan ini berasal daripada pengarah permainan, David Fernández-Huerta, yang dilahirkan di Valencia dan memasukkan unsur yang dicipta semula secara tepat berdasarkan memori cuti musim panas beliau di rumah datuk dan neneknya.

Komitmen Anderson terhadap kepelbagaian menyentuh seluruh industri permainan. Pada tahun 2019, beliau menjadi ahli pertama POC in Play, pertubuhan bukan untung yang beribu pejabat di London untuk menyokong dan menghubungkan orang kulit berwarna dalam industri permainan konsol, PC dan mudah alih.

"Semuanya bergerak dengan pantas selepas kami melancarkan pertubuhan tersebut," kongsi beliau. "Kami mendengar ramai ahli kreatif berkulit Hitam berkata bahawa mereka sering berfikir yang mereka hanya bersendirian. Mereka tidak sedar bahawa ada orang lain dalam industri ini seperti mereka."

Sebelum menyertai Ustwo Games, Anderson bekerja pada judul konsol di Sega dan Lionhead, di samping studio lain.

Hari ini, POC in Play terus memacu perubahan. Senarai Black History Month Games 100 yang dikumpulkan olehnya mewakili orang ternama dalam kalangan pembangun, pereka, penulis, wartawan dan pencipta orang kulit berwarna merentasi industri teknologi, termasuk Dean Jackson, ketua bahagian reka bentuk untuk app kanak-kanak Hopster; bekas presiden Nintendo, Reggie Fils-Aimé; dan Xalavier Nelson Jr., pengarah naratif dan penulis yang pernah menyumbang kepada Reigns: Beyond yang popular serta banyak permainan lain.

Anderson tahu yang kepelbagaian dalam industri permainan tidak mungkin berlaku dengan mudah mahupun cepat, tetapi beliau bertekad untuk terus berjuang. Dalam Monument Valley 2, anda sentiasa boleh mencari jalan ke puncak jika anda kuat mencari—dan laluan itu menjadi lebih mudah untuk dicari jika ada orang yang sedang menunggu di puncak untuk anda.

"Anda tidak boleh menjadi apa yang anda tidak boleh lihat," kata Anderson. "Akan sangat mengagumkan jika seorang gadis muda berkata, 'Oh, saya mungkin menjadi itu suatu hari nanti.'"