APP DITAMPILKAN

Fokus pada Penulisan Anda

iA Writer menghilangkan gangguan agar anda boleh menulis.

Perkara ini sering kali berlaku: kita mula menulis tetapi perhatian anda teralih pada app lain dan pemberitahuan, ataupun pada menu, pilihan dan tetingkap dalam app yang kita tulis. iA Writer pula tidak seperti itu. Ia menyediakan persekitaran menulis supaya anda boleh menumpukan perhatian pada coretan anda dan lupakan yang lain.

Konsepnya ialah anda patut mencatat idea anda pada sekeping kertas, sebelum memikirkan tentang rupa hasil akhirnya. iA Writer menggunakan teks biasa dengan pemformatan Markdown untuk perkara asas termasuk menggelapkan tulisan, mencondongkan tulisan, tajuk, senarai dan pautan.

Tetapi Focus Mode pada app ini dapat membantu menumpukan perhatian pada kerja anda. Bertukar kepada paparan skrin penuh dan skrin kosong akan dipaparkan dengan hanya teks, tanpa sebarang gangguan. Focus Mode boleh memalapkan perkara lain kecuali perenggan atau ayat yang anda sedang siapkan, supaya anda boleh menumpukan perhatian pada penulisan anda tanpa menghiraukan perkara yang ada di sekelilingnya.

Focus Mode mengalihkan selerakan dan membantu anda menumpukan perhatian pada ayat, perenggan atau dokumen yang sedang anda siapkan.

Jika anda mahukan maklum balas tentang penulisan anda, sintaksis iA Writer menyerlahkan teks dengan kod warna supaya anda boleh nampak cara ayat dan perenggan anda dibina. Ia merupakan cara pantas untuk memberitahu sama ada anda lebih cenderung ke arah penulisan Joyce atau Hemingway.

Dedahkan bar sisi iA Writer untuk akses mudah kepada semua dokumen anda termasuklah dokumen yang tersimpan di iCloud. (Dokumen iCloud diselaraskan secara automatik dengan iA Writer untuk iOS, supaya anda boleh bekerja pada mana-mana peranti.) Anda tidak perlu meninggalkan app, sekali gus membantu anda untuk fokus.

Setelah anda selesai menulis dan mahu berkongsi, iA Writer boleh dieksport ke dokumen Word, HTML, PDF atau diterbitkan terus ke blog Medium dan WordPress. Mod Preview app ini menunjukkan kepada anda rupa penulisan anda setelah dieksport; anda juga boleh melihat teks dan pratonton secara serentak, di mana pratonton dikemas kini secara langsung tatkala anda membuat perubahan pada teksnya.

Sekali-sekala setiap penulis memerlukan sedikit peralihan perhatian, tetapi iA Writer memberi anda kawalan ke atas semua gangguan — sekurang-kurangnya gangguan yang ada pada skrin.