GRIS membawakan pengalaman penuh emosi dan diperkaya yang akan terus kekal bersama anda walaupun anda telah selesai bermain—sebab itulah kami memberikannya gelaran Permainan Mac Terbaik Tahun 2019.
Jika anda baru hendak berjinak-jinak dengan dunia indah ini—atau jika anda perlukan sedikit bantuan untuk menelusuri cabaran, teka-teki dan kelainannya—gunakan petua-petua ini sebagai panduan. (Amaran: ada sedikit pendedahan).
Mendapatkan memento
Salah satu matlamat anda dalam GRIS adalah untuk mencari titik cahaya bernama memento. Bukan mudah untuk mencarinya dalam permainan ini, tapi ia memberitahu anda berapa banyak memento yang tersembunyi dalam setiap tahap.

Apabila anda memulakan setiap tahap, kuil itu memaparkan simbol yang dikelilingi oleh titik-titik yang mewakili memento. Malah, apabila anda menemui memento, titik itu akan menyala—mengikut turutan tahapnya—jadi anda akan terus tahu jika terlepas satu memento. Ia ibarat jurnal memento peribadi anda.
Petua pro: Kumpulkan semua memento dalam GRIS untuk membuka bilik rahsia dalam kuil utama. (Anda juga boleh berlagak dengan rakan-rakan tentang kehandalan anda mengumpulkan memento.)
Dengar muziknya
Ribut pasir pada tahap merah merupakan cabaran yang paling sukar, tapi terdapat cara elegan untuk mengelakkannya daripada kecundang dek angin ribut itu: Ribut pasir itu diselaraskan dengan sempurna mengikut rentak muzik; dengar betul-betul dan anda akan mendengar kiu audio yang akan memberi amaran tentang masa yang sesuai untuk mencari perlindungan.
Lakukan secara perlahan-lahan
Pada tahap selepas ribut pasir itu, kesabaran anda akan mendapat ganjaran: Daripada memecahkan lantai kuil untuk turun ke bawah, terus membelok ke kanan untuk mencari memento tersembunyi pada platform. (Gunakan angin untuk mencapainya.)
Kemudian terus meluru ke lantai kuil dan cari tempat yang ada bayang gadis pada lantai itu. Cari patung-patungnya—ia memecah apabila anda melompat ke atasnya. Pecahkan ketiga-tiganya dan anda akan memperoleh pencapaian "Anger".
Dapatkan bantuan rakan
Sebaik sahaja anda mencapai tahap yang mempunyai pokok hijau, kait epal dari dahannya untuk berkawan dengan robot kecil. Bawa robot itu ke epal yang telah jatuh untuk meraih pencapaian. Bunyinya macam mudah, kan?
Semestinya ia bukan semudah itu. Salah sebiji epal tersembunyi di dalam terowong pokok—lebih tepat lagi, di dalam lubang pada penghujung terowong itu. Untuk sampai ke situ, anda perlu memperdaya rakan robot untuk terjatuh ke dalam lubang itu.
Lakukannya dengan bermain permainan "ikut ketua": Ketika melompat ke atas akar untuk keluar dari bawah tanah, robot akan melompat di belakang anda. Selaraskan masa melompat dengan tepat sambil berjalan ke kiri dan dia akan terjatuh ke dalam lubang.
Setelah dia mendapatkan epal itu, berjalan ke kanan agar dia dapat berpaut pada anda semula.
Berkicau bersama unggas
Tahap terakhir melibatkan burung merak. Dapatkan kebolehan menyanyi (dengan mengumpulkan bintang) dan anda akan dapat menggunakan kemahiran itu untuk menyedarkan burung merak sepanjang tahap. Cari semua merak dan anda akan memperoleh pencapaian yang seterusnya.
Namun, apabila nyanyian tidak menjadi. Cari burung yang lebih besar berbanding yang lain; apabila anda menemuinya, mula menyanyi dan ia akan mengembangkan bulu-bulunya.
Cari penerimaan anda
Atasi tahap terakhir dan anda akan dapat membuka babak terakhir yang anda perlu melepaskan diri dari lautan lendiran hitam kemudian memanjat patung gergasi yang sudah pecah.
Sambil memanjat, cari patung lebih kecil yang bertebaran, dikelilingi oleh bunga yang tidak berkembang. Menyanyi pada patung ini untuk mencapai penerimaan terakhir dalam GRIS.