PEMBAIKAN SEGERA

Rapikan Pemacu Anda

GrandPerspective menawarkan pandangan berkod warna yang sangat membantu.

Sukar untuk mengenal pasti video, muat turun mahupun fail besar yang mana yang mengambil banyak ruang dalam pemacu keras anda? GrandPerspective memudahkan anda untuk mengesan puncanya.

Selepas mengimbas folder atau pemacu tertentu, app ini akan memaparkan setiap fail sebagai segi empat tepat berwarna. Paparan ini mungkin kelihatan menggerunkan pada mulanya, tapi anda perlu ingat: Semakin besar segi empat tepat itu, maka besarlah failnya. Klik salah satu daripadanya untuk melihat saiz dan laluan fail itu pada bahagian bawah tetingkap.

Berikut merupakan tiga panduan untuk memanfaatkan sepenuhnya utiliti yang berguna ini.

Cuba menjengah

Tak ingat kandungan video yang diberi nama sulit? Mahu mendengar fail audio yang sudah lama dilupakan? Pilih fail dan tekan bar Space untuk pratonton Quick Look. Kemudian, gunakan butang di sepanjang bahagian atas untuk membuang fail yang dipilih atau mendedahkannya dalam Finder.

Paparan berwarna-warni GrandPerspective mengetengahkan fail yang mengambil banyak ruang—anda cuma perlu mencari segi empat tepat yang besar! Secara lalai, fail dalam folder yang sama mempunyai warna yang sama.

Dapatkan lebih banyak butiran dengan membuka tetingkap Info: Apabila anda klik di ruang itu, tab Focus menunjukkan kali terakhir anda mengubah suai atau membuka setiap fail.

Ubah pandangan anda

Mahu mengesan fail yang sudah lama anda tidak buka? Klik tetingkap Info, kemudian pergi ke tab Display, seterusnya tetapkan "Color by" kepada "Last Access" dan "Palette" kepada "Heatmap 12".

Dalam paparan ini, semakin lama anda tidak membuka fail itu, semakin biru warnanya. (Fail yang terletak pada hujung spektrum merah ialah fail yang anda telah buka.) Mahu lihat fail yang anda belum ubah suai baru-baru ini? Tetapkan "Color by" kepada "Last Change".

Dalam peta haba ini, fail yang anda belum buka selama enam bulan akan menjadi mudah untuk dikesan—dan dibuangkan.

Tapis dengan pantas

Mahu menyembunyikan semua fail kecil yang menyemakkan pandangan anda? Pergi ke Window > Filter untuk mengeluarkan tetingkap penapis dan klik New. Berikan penapis anda nama (misalnya "100MB+") dan pilih "Huge Files" dalam senarai "Available Tests". Kemudian, klik butang anak panah kiri untuk menambahkan syaratnya dan klik OK.

Sekarang pilih penapis baharu anda dan klik OK untuk menggunakannya pada imbasan semasa.

Suai dan padankan parameter penapis untuk melihat fail yang anda mahu sahaja.

Bagi mengecilkan pandangan anda, wujudkan penapis dengan berbilang parameter—contohnya, menyembunyikan semua fail kecuali fail audio yang besar.