Seperti kisah berlapis-lapis yang menjadi terasnya, GRIS mewakili pelbagai benda sekali gus: Teka-teki platform yang sangat memuaskan. Koleksi lukisan cat air yang dihidupkan. Karya digital yang mengharukan—yang menerokai harapan, kesedihan dan kemegahan setelah mengatasi kehilangan yang penuh tragedi.

Setiap tahap dalam permainan ini menempatkan ilustrasi lukisan tangan yang sangat halus berdasarkan salah satu daripada lima tahap kesedihan. Sambil anda memikirkan cara untuk merentasinya, landskap yang bermula dalam warna hitam putih ini (gris bermakna "kelabu" dalam bahasa Sepanyol) secara beransur-ansur akan dibanjiri dengan warna.
Ada pengajaran diterapkan dalam gurun pasir yang diusapi angin dan hutan hijau. Contohnya, dalam dunia di bawah laut, yang mewakili kemurungan, anda belajar untuk menyelam sedalam yang mungkin.
Walaupun rentaknya agak santai dan semua unsurnya disampaikan secara beransur-ansur, GRIS penuh dengan kejutan dan keajaiban. Tukar diri anda menjadi ikan pari untuk mengharungi pagar sesat dengan lincah, misalnya, gua bawah laut. Melayang di udara sambil dikelilingi rama-rama. Ataupun tukar mantel berkibar anda menjadi bongkah batu gergasi untuk melindungi diri daripada angin kencang. Kegelapan yang timbul akibat rasa patah hati melahirkan keupayaan yang bersinar-sinar.
Tiada kematian dalam GRIS. Walaupun anda terjatuh ke dalam jurang atau terlepas lompatan, anda masih boleh mencari jalan kembali. Dan makhluk bayangan—burung hitam yang menyeramkan atau ikan belut seakan coretan dakwat hitam—hanyalah cabaran yang perlu diatasi untuk meneruskan perjalanan anda.

GRIS berjaya menggabungkan semua unsurnya yang disampaikan dengan indah, termasuk runut bunyi yang memilukan oleh kumpulan muzik 'chamber-pop', Berlinist. Pada suatu tahap, muzik ini begitu mengikut rentak aksi sehinggakan anda boleh menganggar masa untuk bertindak mengikut iramanya.
Jangan terpedaya dengan namanya—GRIS sebenarnya dipenuhi dengan warna. Ia suatu pengalaman yang tidak mudah dilupakan tentang keeratan hubungan antara kegembiraan, kesedihan dan pemulihan hati yang terluka.