PERMAINAN DITAMPILKAN

Satukan Empayar China

Total War kini tiba di Three Kingdoms.

Pemerintahan Dinasti Han yang berkurun-kurun lamanya sudah pun berakhir, dan China telah berpecah kepada wilayah yang ditadbir oleh panglima perang. Berpuluh-puluh ribu orang telah mati atau nazak. Mampukah anda mengembalikan semula kegemilangan masa lalu dan menyatukan semula negara?

Total War: Three Kingdoms membawa anda kembali ke China semasa era kebangkitan Three Kingdoms (Tiga Kerajaan). Kuasai seni peperangan dan kepimpinan semasa anda menerajui satu daripada 12 puak, yang setiap satunya dipimpin oleh panglima perang yang memiliki kemahiran unik, dalam pertempuran masa nyata dan strategi berasaskan giliran.

Mod tempur akan meletakkan anda di medan peperangan. Kerahkan askar dan unit berkuda dari atas, zum masuk untuk mendapatkan paparan peperangan yang lebih jelas, misalnya ketika panglima tentera sedang bertarung tanpa senjata.

Atur kedudukan tentera anda dengan bijak: Askar berpedang mampu menangani musuh di darat namun lemah apabila berhadapan pasukan berkuda. Pemanah tepat dapat melancarkan bidikan anak panah dari jarak jauh. Semakin banyak pengalaman di medan perang yang anda peroleh, anda akan dapat membuka unit baharu dengan kemahiran istimewa. Rekrut unit yang menepati kemahiran panglima perang anda untuk mendapatkan bonus yang berharga.

Namun pertempuran bukanlah segala-galanya: Dalam mod kempen yang menumpukan strategi jangka masa panjang, anda akan membina kota-kota di samping memajukan teknologi dan melaksanakan perubahan yang akan meningkatkan gaya hidup rakyat anda. Jalankan rundingan perdagangan yang menguntungkan, jalinkan hubungan diplomatik dan rangka muslihat agar musuh serta sekutu anda berperang sesama sendiri. Cuma jangan terlalu leka—pengkhianatan mungkin akan berlaku jika keadaan tidak berpihak kepada anda.

Keputusan anda menentukan jatuh bangun empayar anda: Kejayaan akan menyerlahkan kredibiliti anda—yang dapat anda manfaatkan dalam rundingan pada masa hadapan.

Terdapat 12 jenis panglima perang untuk dipilih dan setiap permainan pastinya akan menawarkan pengalaman yang berbeza. Malah, dua mod permainan menawarkan lebih banyak kelainan: Records of the Three Kingdoms menyasarkan peperangan sebenar dari sisi sejarah, manakala mod Romance of the Three Kingdoms berasal dari kisah dongeng China, memberikan kuasa luar biasa kepada panglima perang dan pahlawan anda.

Tidak kisahlah pengembaraan yang anda pilih, panglima perang, pahlawan dan angkatan tentera anda mempunyai satu matlamat yang sama: untuk membina satu dinasti baharu yang teguh berdiri.