TEMUI PEMBANGUN

Pakar Tugasan

Cultured Code berkongsi mengenai pembangunan Things.

Sejak pelancarannya lebih sedekad yang lalu, app senarai tugasan Things telah mengumpulkan pangkalan peminat setia—terutama sekali dalam kalangan pakar produktiviti yang menghargai begitu banyak cara untuk membahagi dan mengatur tugasan dengan antara muka yang elegan dan tidak semak.

Bukan perkara baharu untuk app produktiviti bermula di iOS dan kemudian beralih ke Mac. Namun, Things—salah satu app pengurus tugasan pertama di App Store iOS—bermula sebagai projek desktop.

Pasukan ini mula membangunkan Things untuk Mac pada tahun 2006 dan memiliki versi beta menjelang tahun 2008. Kemudian versi App Store iOS pula diumumkan. "Kami dengan berat hati terpaksa menghentikan sebentar pembangunan app Mac ini supaya kami dapat menyiapkan app iOS kami untuk dilancarkan secara serentak dengan App Store," ujar Werner Jainek, CEO dan pengasas pembangun Cultured Code.

Things adalah mudah untuk digunakan, tetapi cukup versatil untuk projek-projek yang kompleks.

Namun, ada hikmah di sebalik semua itu. Kejayaan Things untuk iOS membolehkan Cultured Code untuk menyiapkan versi Mac, dan app iOS mampu menjadikan Things untuk Mac lebih baik. Kedua-dua app desktop dan mudah alih ini berjaya meraih Apple Design Award.

Kini setelah lebih sedekad usianya, Things terhasil daripada pemerhatian yang tidak dapat disangkal: "Semua orang mempunyai projek!" kata Jainek. Pada waktu itu, kebanyakan app senarai tugasan adalah pembuat senarai ringkas yang tidak mampu menampung pengurusan yang rumit dan mempunyai pelbagai langkah. "Matlamat kami adalah untuk menghasilkan antara muka pengguna yang membentuk sifat sebenar pengurusan tugasan peribadi dengan betul."

Kemudian Things mengambil langkah pendekatan yang unik, diinspirasikan oleh buku panduan produktiviti David Allen, Getting Things Done. "Langkah pertama dalam membangunkan Things adalah mengetahui kepelbagaian sifat senarai 'perlu buat'," ujar Jainek. "Sebuah kalendar menyimpan tarikh janji temu yang perlu dilaksanakan pada waktu tertentu. Senarai tugasan adalah sesuatu yang anda mulakan pada hari tertentu dan ia masih relevan digunakan pada keesokan hari, atau seminggu selepas itu."

Pada masa kini, ia dianggap perkara biasa, tidak seperti sedekad yang lalu.

Sejak dari peringkat awal, pasukan Cultured Code mempunyai kekangan keutamaan. Perkara itu dicerminkan sehingga ke hari ini dalam pendekatan minimalis syarikat itu bagi ciri baharu. "Bagi produk yang sepatutnya menjadikan anda lebih produktif, amat penting untuk ia memiliki kesederhanaan yang sukar ditandingi," ujar Jainek.

Cultured Code terus menjalankan pengemaskinian dengan lebih berhati-hati.

"Kami menerima banyak permintaan daripada pengguna kami, namun kami amat berhati-hati dalam perancangannya, memastikan ia tidak terlalu merumitkan app," ujar Jainek. Manakala kebanyakan app mengemas kini ciri baharu yang besar, pengemaskinian Things lebih tertumpu pada "menjadikan konsep sedia ada pada app ini lebih mudah."

Itulah sebabnya setelah lebih 10 tahun dan berbilang versi kemudian, masa depan Things kelihatan lebih cerah berbanding sebelum ini.