TINGKATKAN KEMAHIRAN ANDA

Selesaikan Teka-teki Gorogoa

7 tip untuk membongkar kod Gorogoa.

Dalam permainan teka-teki yang indah seakan mimpi Gorogoa, dedahkan kisah yang diceritakan sepenuhnya dengan memanipulasikan panel sebuah buku komik hidup. Sambil anda menyusun semula, menyahpasang dan menggabungkan semula imej berbeza, permainan ini sentiasa memutarbalikkan jangkaan anda dengan bermain bersama masa, ruang dan geometri, semua dalam konteks grid 2x2.

Walaupun Gorogoa amat menarik, ia tidak selalunya memudahkan proses memasuki setiap babak. Di bawah ialah beberapa tip untuk membantu anda meneroka dunia yang luar biasa ini.

Kenali petunjuk
Hanya beberapa objek dalam babak Gorogoa yang dilukis dengan cantik tidak memiliki fungsi lain. Pada awal permainan, menzum masuk pada corak di atas sebuah kusyen menampilkan langkah yang anda ambil untuk mendapatkan satu daripada objektif pertama permainan ini (buah merah). Ini menggambarkan salah satu daripada kunci kepada penyelesaian misteri kisah ini: Perincian—dan mata tajam—adalah amat penting.

Sambil anda mara melalui kisah permainan, anda akan menjumpai lukisan yang boleh dimasuki, buku dan gelembung fikiran yang menunjukkan langkah-langkah seterusnya dan petua yang diukir di atas pintu almari. Ingat semua petua ini—atau ambil tangkapan skrin sebagai peringatan.

Perhatikan kedudukan dan saiz objek yang dilihat ketika menzum masuk dan keluar. Ada kalanya, anda perlu menindih lapisan panel ke atas panel yang lain.

Ikut bayangan
Ada permainan yang suka mengelirukan anda. Namun, bukan Gorogoa. Kelajuan jalan cerita yang dirancang dengan rapi dan reka bentuk yang teliti berjaya menerapkan diri anda dalam ceritanya sambil membuatkan anda terasa seperti seorang genius setiap kali anda melepasi suatu tahap.

Untuk memastikan yang naratifnya berjalan lancar, permainan ini sekali-sekala menganimasikan objek tertentu supaya ia menarik perhatian anda. Jangan mengabaikan bayangan yang diberi. Jika anda mengklik pada panel dan ada sesuatu yang menyala atau anak panah muncul, ia menandakan yang anda harus cuba berinteraksi dengannya.

Pelajari tentang dunia ini
Menguasai Gorogoa memerlukan anda untuk memahami sambungan antara bahagian-bahagiannya, jadi ia penting untuk memahami dunia di sekeliling anda—serta apa yang terdapat di situ pada masa berbeza.

Apabila anda memasuki kawasan yang baharu, jangan bertumpu sahaja pada teka-teki yang jelas di situ. Perhatikan persekitaran anda dan bina peta di minda tentang kawasan di sekeliling anda. Anda mungkin juga perlu mencatatkan laluan di antara objek yang kelihatan seperti ia mungkin berguna. Selepas itu, apabila anda terserempak dengan jawapan kepada sesuatu teka-teki dan tahu langkah seterusnya, anda sudah tahu di mana setiap benda dan ke mana untuk pergi.

Buat padanan
Walaupun teka-teki Gorogoa menjadi lebih pintar dan kompleks sambil anda maju ke tahap kemudian, mekanik asas yang anda pelajari di awal permainan masih kekal penting. Antara yang paling penting ialah keupayaan untuk mengenali elemen yang padan.

Contohnya, jika anda terlihat lampu yang tidak bernyala, anda mungkin perlu mencari jalan untuk menyalakan lampu tersebut. (Cuba memindahkannya ke panel lain yang mengandungi bintang terang di lokasi yang sama.) Jika dua panel menunjukkan rak yang sama di dalam sebuah pejabat, zum masuk pada rak itu sehingga ia menjadi satu barisan untuk membuka cabaran seterusnya. Ingat strategi ini untuk teka-teki serupa di sepanjang permainan.

Cari peluang untuk menjajarkan elemen yang bersilang antara panel.

Ingati ilmu sains
Kadangkala, anda perlu memanipulasikan objek secara langsung di dalam panel. Ketika anda berbuat demikian, fikirkan cara objek ini bergerak di dunia nyata. Gorogoa mungkin kelihatan seperti suatu kisah fantasi, tetapi ia masih mengikuti hukum fizik dunia sebenar. Contohnya, jarum jam boleh ditarik oleh sebuah magnet.

Berlatih mengikut turutan
Masa tidak bergerak secara linear dalam Gorogoa, namun penyelesaian bagi beberapa teka-teki memerlukan anda untuk melaksanakan panel dalam masa nyata. Pada satu tahap, anda perlu membebaskan rama-rama daripada sebuah balang gelas dengan memecahkan balang itu menggunakan meteorit yang jatuh.

Penyelesaian teka-teki ini memerlukan anda untuk bertukar ganti antara dua panel beberapa kali, dengan setiap panel dizum masuk supaya sepanduk berwarna dijajarkan. Teka-teki sedemikian mungkin rumit, namun tiada penalti yang dikenakan jika anda tersilap langkah. Anda selalu boleh mencuba lagi. Jadi, senaraikan langkah yang perlu dan berlatih sehingga anda berjaya.