Sesetengah permainan memang agak misteri, tapi The Witness lebih daripada sekadar misteri. Anda seorang diri di sebuah pulau yang aneh, tanpa sebarang arahan tentang langkah seterusnya. Apakah yang anda sedang saksikan? Permainan ini tidak akan mendedahkannya. Malah, pengembaraan tanpa dialog ini tidak akan beritahu apa-apa pun.
Keseronokan The Witness terletak pada pengembaraannya—meneroka pulau ini dan teka-tekinya dalam rangkaian teka-teki yang saling terhubung. Namun begitu, pada peringkat permulaan, anda muncul dari sebuah terowong ke sebuah taman yang berselirat dengan kerja perpaipan, anda mungkin berasa bingung. Berikut merupakan beberapa panduan untuk membantu anda memulakannya (tanpa mendedahkan terlalu banyak petunjuk).
Pelajari bahasanya
The Witness mungkin tidak mempunyai kata-kata, namun ia mempunyai tatabahasa dan juga kosa kata tersendiri. Sebaik sahaja anda mengetahui bagaimana satu-satu teka-teki berfungsi, anda akan dapat menggunakan pengetahuan itu dalam tugasan yang lain. Seperti mempelajari bahasa asing, lama-kelamaan anda akan menjadi cekap. Ingat perkara ini sambil anda meneroka.
Lakarkan peta
Sungguhpun ia terbentang luas, pulau ini penuh dengan mercu tanda untuk membantu anda mencari jalan ke lokasi utama (dan kembali semula). Jadi, ambil kertas dan pensel (atau iPad dan Apple Pencil) dan buat lakaran sambil anda meneroka, dengan mencatat apa jua perkara yang dikira penting.
Walaupun jika sesuatu perkara itu kelihatan tidak penting sekarang, anda mungkin mendapati ia berguna dalam perjalanan anda nanti.

Ambil tahu
Bukan semua dalam permainan The Witness adalah kebetulan—cabarannya adalah mengetahui mengapa sesuatu objek itu ada di situ. Jika anda mendapati ada kabel yang terkeluar dari panel, ikut ke mana hala tujunya. Jika anda mendapati ada jarak di antara barisan pokok, cuba menyelit di antaranya untuk menyiasat apa yang ada di sebalik hutan itu. The Witness ialah sebuah dunia terbuka yang penuh ganjaran kepada mereka yang ingin tahu.
"Tiada perkara yang sembarangan," ujar pengarah permainannya, Jonathan Blow. "Setiap perkara dalam permainan ini ada tujuannya. Kadangkala sesuatu perkara ada dua atau tiga atau lima tujuan."

Ambil gambar
Jika anda sedang meneroka sebuah pulau dalam dunia sebenar, anda akan mengambil gambar apa jua perkara yang menarik perhatian anda. Lakukan perkara yang sama di sini, tangkap skrin (Command-Shift-3) untuk babak dan teka-teki yang penting. Jangan lupa untuk menangkap gambar teka-teki yang telah lengkap. Anda akan menghargai tindakan itu tatkala anda bermain untuk kali kedua (atau ketiga).
Perhatikan dengan teliti
Sementara teka-teki peringkat awal agak mudah, teka-teki yang bakal anda hadapi selepas itu mungkin sukar untuk diselesaikan tanpa mengetahui konteksnya. Penyelesaiannya mungkin terletak pada sesuatu yang anda telah lihat atau dengar. Bayangan, pantulan dan laluan usang mungkin menjadi petunjuk yang penting. Perhatikan dengan teliti dan sekiranya anda buntu, cuba lihat teka-teki itu dari arah atau lokasi yang baharu.
"Anda sentiasa boleh merayau-rayau dan mencuba perkara baharu, dan anda juga mungkin terjumpa sesuatu yang memberikan anda idea baharu tentang cara untuk menyelesaikan teka-teki yang sukar itu," kata Blow.
Pergi menaiki bot
Terlalu banyak berjalan? Pergilah ke pantai di sudut tenggara pulau itu, dan anda akan menemui teka-teki ringkas di hujung jeti batu itu. Melengkapkan teka-teki itu akan memanggil sebuah bot kecil yang muncul dari ombak.
Naik ke dalam bot itu untuk melawat mana-mana dok di pulau itu. Peta yang anda gunakan untuk mengemudi bot itu (hanya lukis laluan yang anda ingin berlayar) turut berfungsi sebagai pembantu navigasi apabila anda berada di darat. Ingat panduan sebelum ini: Tangkap gambar skrin.

Jangan tergesa-gesa menyelesaikan permainan
Salah satu matlamat permainan ini adalah untuk mengaktifkan menara kecil yang memancarkan sinar cahaya ke arah gunung. Walaupun terdapat 11 menara kecil di pulau itu, anda hanya perlu mengaktifkan tujuh buah untuk mendapatkan akses ke gunung itu—dan sekali gus menyelesaikan permainan ini.
Jika anda tergesa-gesa untuk ke gunung itu, anda akan terlepas sebahagian besar permainan The Witness. Bagi mendedahkan semua rahsia permainan itu, kembali ke bahagian yang anda belum selesaikan. Anda pasti bersyukur kerana berbuat begitu.