TINGKATKAN KEMAHIRAN ANDA

Peranan Lokasi dalam Civ VI

Perancangan hartanah empayar anda terungkai.

Kata orang, lokasi adalah segala-galanya apabila bercakap mengenai hartanah. Nampaknya, ungkapan itu benar dalam permainan strategi membina empayar, Civilization® VI.

Matlamat anda adalah untuk menukar petempatan kecil anda menjadi kuasa terbesar di dunia melalui penaklukan ketenteraan, membawa agama baharu, budaya yang menarik atau teknologi sains yang canggih. Namun, kehebatan peradaban anda perlulah bermula dengan benih yang ditanam dengan bijak. Berikut ialah lima perkara yang perlu diingati apabila menubuhkan metropolis masa depan anda.

1. Bermula secara kecil

Baru berjinak-jinak dengan Civ? Pilih peta Small atau Tiny dan tumpu pada sebilangan petempatan. Anda akan mempelajari asas membina bandar tanpa rasa panik. Apabila kemahiran anda semakin berkembang, anda boleh beralih kepada peta besar dan pertandingan maraton.

Peta yang lebih kecil bermakna anda akan lebih dekat dengan jiran tetangga anda dan ia juga membantu anda memahami asas-asas permainan.

2. Usah terlalu cerewet

Civilization VI menempatkan penghuni anda dalam kawasan yang boleh didiami—selalunya hanya memerlukan satu atau dua pusingan untuk mendapat tempat sesuai buat bandar pertama anda.

Walaupun anda rasa teringin untuk mendapatkan tempat yang dikelilingi oleh sumber yang lumayan dan tanah yang serba guna, jika anda berfikir terlalu lama, anda akan ketinggalan jauh di belakang pihak musuh yang kurang cerewet. Penghuni anda mungkin akan diculik oleh puak gasar sebelum sempat mendapat rumah. Sungguh memalukan!

3. Perhatikan gambaran yang besar

Membina petempatan berhampiran sumber makanan dan sumber lain menggalakkan pertumbuhan yang pesat: Sungai membolehkan bandar menyokong populasi yang lebih besar manakala sumber seperti berlian dan marmar dapat membantu meningkatkan ekonomi anda.

Namun, apabila bandar anda berkembang pesat, begitu juga keinginan sekundernya—jadi teruskan mencari melangkaui jubin-jubin pertama dan fikirkan tentang ke mana anda mahu pergi selepas itu. Contohnya, gunung berhampiran sesuai untuk tempat suci, sementara hutan hujan menyokong wilayah Campus bersebelahannya.

Menempatkan bandar di pinggir pantai membolehkan anda membina kapal dan meneroka lautan.

4. Merancang masa depan

Sesetengah peradaban lebih sesuai untuk jenis peta tertentu. Memastikan peradaban dan dunia anda sentiasa selari bakal membantu anda ke arah kejayaan.

Contohnya, jika anda telah memilih peta yang sarat dengan air bersama peradaban yang bertumpukan pada pangkalan tentera laut seperti tentera Norway, membina bandar di lokasi yang dikelilingi daratan untuk bandar pertama anda akan menafikan kebolehan istimewa anda. Gunakan pusingan tambahan untuk meninjau lokasi pinggir laut bagi memulakan asas petempatan anda.

5. Pilih dengan bijak

Sebaik saja bandar anda telah siap (yay!), anda akan dapat memutuskan jenis unit yang patut dihasilkan: seorang peninjau untuk memahami keadaan di sekeliling, pahlawan untuk memastikan keselamatan bandar anda atau jurubina untuk mengendalikan ladang dan melombong di bukit? Perdebatan "nak bina apa dulu" ialah persoalan lama yang seusia dengan Civilization sendiri!

Dalam kebanyakan kes, memilih pahlawan adalah lebih baik, ataupun pelontar serangan yang tidak kurang hebatnya. Sementara unit ketenteraan ini tak boleh bergerak sepantas peninjau, mereka berguna untuk peninjauan jarak dekat—dan lebih penting jika anda berakhir pada jarak dekat dengan kem puak gasar.

Selepas itu? Jadi, "nak bina apa selepas ini" merupakan perdebatan 'kedua tertua' dalam Civilization. Selamat maju jaya!