MARI BERMULA

Bina Empayar yang Menggerunkan

Dalam 5 langkah mudah. Kursus pantas untuk Civilization® VI.

Terdapat banyak laluan ke arah kemenangan dalam permainan strategi membina empayar Civilization® VI. Anda mungkin dapat menumpaskan pihak lawan dengan tenaga ketenteraan atau membangunkan begitu banyak tarikan kebudayaan yang menakjubkan yang dapat menarik ramai pelawat ke bandar dari serata tempat. Mungkin anda akan menjadi pengasas sebuah agama yang tersebar ke serata dunia, atau mengetuai perlumbaan angkasa untuk menjadi orang pertama yang sampai ke Marikh.

Membuat keputusan ke atas salah satu laluan-laluan ini—dan memegang peranan sebagai seorang pemimpin dengan kemahiran unik yang digabungkan sempurna dengan strategi anda—boleh menjadi kunci kejayaan. Tetapi sebagai pendatang baharu, bilangan opsyen mungkin agak menjerihkan.

Jika itu kebimbangan anda, usah khuatir. Langkah pertama dalam Civilization® VI, anda perlu fokus pada keseronokan jangka pendek. Ada banyak masa untuk anda meneroka dengan lebih dalam bagi strategi kemenangan sebaik sahaja anda menjadi semakin mahir. Di sini terdapat lima cara untuk terus maju ke arah kemenangan pertama anda dalam Civ VI.

Mengejar kemenangan kebudayaan? Binalah Rumah Opera Sydney (tersembunyi pada bahagian atas skrin). Ia akan dapat menjadi tumpuan para pemuzik dan menggalakkan industri pelancongan.

Perlahankan sedikit

Civilization® VI mempunyai lapan tetapan kesukaran, bermula dengan Settler (Peneroka) hinggalah Deity (Dewa). Permainan standard ditetapkan secara automatik kepada Prince (Putera - tahap pertengahan)—tapi itu tidak bermakna ia sesuai untuk anda.

Selain melompat ke dalam permainan baharu dengan opsyen Play Now (Main Sekarang), pilih Create Game (Cipta Permainan) daripada menu utama dan lihat parameter yang ada. Bermain permainan pada tetapan Warlord (Hulubalang) atau Chieftain (Ketua Kaum) adalah cara terbaik untuk mengendalikan mekaniknya. Anda boleh pilih sendiri peradaban pihak lawan di sini—berguna jika anda teringin untuk bertempur dengan pemimpin tertentu.

Tubuhkan angkatan tentera

Terdapat begitu banyak cara untuk memperbaik bandar-bandar anda, mengembangkan ekonomi, dan membuatkan rakyat gembira yang dengan mudahnya dapat menangguhkan pembinaan unit ketenteraan sementara anda memperkemaskan kawasan penempatan anda. Ia sememangnya benar apabila anda perlu memilih antara, katakanlah, membina monumen yang mengagumkan atau melatih para pemanah yang membosankan.

Namun dalam Civilization® VI, mengabaikan ketenteraan anda adalah cara terpantas untuk kecundang—terutamanya pada peringkat awal, tatkala kesan ke atas pengisytiharan perang adalah tidak begitu membahayakan atau tidak wujud sama sekali. Tanpa pertahanan yang kukuh, musuh yang agresif dan oportunis—ataupun sekumpulan orang gasar yang berdekatan—boleh menamatkan permainan anda sebelum ia sempat bermula.

Bagi mereka yang agresif, ambil perhatian: Mempertahankan peradaban anda adalah sama penting dengan mengembangkannya.

Kenali musuh anda

Tumpukan pada pengujikajian dalam beberapa permainan awal anda, dan perhatikan dengan teliti reaksi pihak lawan yang dikawal A.I.. Adakah anda membina penempatan terlalu hampir dengan peradaban lain dan terlalu awal menjadi sasaran? Cuba hantarkan pasukan peninjau jauh ke tengah lapangan dan cari tempat yang bebas konflik (dan kaya dengan sumber) untuk meluaskan empayar anda.

Memahami pemikiran pihak lawan anda adalah penting dalam menguasai Civilization® VI—dan akhirnya akan menjadi satu tabiat semula jadi.

Bermain mengikut kekuatan anda

Sebaik sahaja anda sudah mahir mengendalikan peringkat asas Civilization VI, kini tiba masanya untuk menjadi lebih kreatif dengan pemilihan permulaan anda. Bereksperimen dengan para pemimpin yang ada sehingga anda menemui beberapa watak yang sesuai dengan gaya anda. Catherine de Medici dari Perancis merupakan pemimpin pemula yang menyeluruh, dan kebolehan risikan beliau—sebuah sistem permainan Civ VI yang sering terlepas pandang—boleh menjadikan beliau watak yang sangat membinasakan pada peringkat lanjutan dalam permainan ini, terutama sekali apabila memburu kemenangan kebudayaan.

Adakah mendominasi lebih menepati gaya anda? Cubalah memimpin sebagai Teddy Roosevelt. Anda akan perlu bermain secara pertahanan pada peringkat awal, tetapi sebaik sahaja peradaban anda mencapai era moden, berwaspadalah. Unit ketenteraan Amerika menjadi tiada tolok bandingnya.

Tumpukan pada ganjarannya

Ia memang mengghairahkan untuk membina bandar-bandar terbesar, menyelidiki teknologi tercanggih, dan memiliki unit ketenteraan yang besar untuk mengawal sempadan anda. Tetapi sementara anda sibuk mengendalikan semua tugas, pihak musuh A.I. anda sedang mengejar satu agenda yang sangat tertumpu.

Selepas menubuhkan tempat bertapak awal, kaji lima syarat kemenangan Civilization® VI (mendominasi, sains, kebudayaan, agama, dan skor) dengan klik pada ikon medalion emas di bahagian kanan atas skrin. Perkara ini akan memaparkan menu World Rankings (Ranking Dunia), tempat anda boleh mempelajari apa yang perlu dilakukan untuk menang dan betapa hampirnya anda—dan musuh anda—ke arah kemenangan.