

Penghormatan pada yang berhak
Pencipta BBEdit, Rich Siegel sentiasa mendahulukan pengguna.
BBEdit mungkin merupakan salah satu alat pembangun yang paling disayangi pada mana-mana platform, tetapi penciptanya, Rich Siegel, mempunyai cita-cita yang sederhana. Beliau mula menulis versi pertama bagi perisian itu pada 1989 kerana beliau memerlukan pengedit yang mampu menampung fail "besar"—sesuatu yang melebihi 32 KB.
"Salah satu kekurangan Macintosh Pascal adalah fail sumbernya tidak boleh melebihi 32 kilobait," jelasnya.
Lebih suku abad telah berlalu sejak kemunculan komersial pertama BBEdit, dan app tersebut telah menjadi kegemaran dalam kalangan pembangun, saintis, pereka laman web, dan juga penulis disebabkan oleh kuasa dan kepantasannya. (Pada masa kini, Siegel kerap menguji fail 12 GB).
Siegel kekal sebagai arkitek utama dan ketua jurutera bagi BBEdit, dan tatu molekul kafein pada lengannya melambangkan etika kerja beliau. Kami berbicara dengan beliau dari ibu pejabat Bare Bones Software miliknya yang terletak di utara Boston, di mana Siegel berkongsi tempat itu dengan sepasang burung kakak tua Afrika berwarna kelabu.

Bagaimanakah detik-detik awal ketika BBEdit dilahirkan?
Pada ketika itu, cara untuk meletakkan perisian Mac di dunia luar adalah dengan menghantarnya ke Info-Mac Archive, sebuah tempat penyimpanan FTP yang dihoskan oleh Stanford. Jadi, itulah yang saya lakukan, dan berita itu mula tersebar dengan pantas melalui dalam talian.
Saya pernah menyebut bahawa jika sesiapa yang ingin salinan pada cakera, mereka boleh mengeposkan cakera liut dan sampul surat beralamat sendiri kepada saya. Pada waktu itu, saya menerima begitu banyak cakera liut.
Mengikut standard perisian, BBEdit telah bertapak sejak lama dahulu. Bagaimanakah perubahan pangkalan pengguna yang telah anda saksikan?
Pangkalan pengguna kami bermula dengan pembangun perisian Mac, saintis, pentadbir sistem, dan pengguna teknikal yang lain. Perubahan besar yang pertama adalah ianya popular dalam kalangan pengarang HTML dan pembangun bahagian belakang web. Ketika berita tentang perisian kami tersebar, kami berupaya membantu mereka memahami bahawa internet dibina dengan teks—di mana anda boleh menggunakan teks itu sebagai data ataupun sebagai dokumen. Jadi, gelombang yang seterusnya membawa masuk pengguna dalam kalangan arkitek, penganalisis krip, dan saintis dari bidang yang tidak dijangka.
Gelombang ketiga pula kebanyakan terdiri daripada penulis dan pencipta kandungan yang lain—mereka ialah golongan yang melihat teks bukan sebagai data tetapi sebagai perkataan, dan mahu mengurangkan jurang antara mereka dan kata-kata mereka.
Namun begitu, sebanyak mana perubahan yang telah kami saksikan, terdapat kesetiaan dalam kalangan para pelanggan kami: Mereka ialah golongan yang hanya mahu kerja-kerja mereka disiapkan. Mereka tidak rasa terganggu dengan perkara-perkara lain dalam peralatan perisian itu.
Apakah antara projek-projek menarik yang pernah anda lihat dicipta oleh orang ramai dengan menggunakan BBEdit?
Ada begitu banyak projek! Pelanggan kami telah menggunakan BBEdit untuk menghasilkan novel, tesis kedoktoran, dan kertas kerja yang ditulis panjang. Seorang pelanggan telah menggunakan BBEdit sebagai sebahagian daripada aliran kerja pembangunan untuk menerbangkan UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) bersaiz F-16; sistem kawalan penerbangan menghantar data kepada BBEdit dalam masa nyata, di mana jurutera akan memeriksa data itu, mengubah dan menghantarnya kembali dalam masa beberapa saat. Malah, Projek Genom Manusia (Human Genome Project) turut menggunakan BBEdit untuk membantu menganalisis jujukan DNA yang panjang.

Sejauh manakah perisian ini telah berevolusi sejak beberapa tahun yang lalu?
BBEdit telah menjalani transformasi demi transformasi teknikal yang besar. Pertama sekali, terdapat port kepada PowerPC. Kami telah membangunkan komponen OpenDoc, dan sesetengah daripada kerja seni bina dalaman yang kami hasilkan masih lagi digunakan.
Kemudian muncul pula penulisan semula yang hampir lengkap bagi seni bina dalaman ini, disusuli dengan port kepada Mac OS X—BBEdit merupakan app pihak ketiga yang pertama berjalan secara natif pada OS baharu itu—kemudian port kepada Intel. Tahun lalu, kami telah selesai menulis semula BBEdit sekali lagi, kali ini sebagai app AppKit.
Di antara PowerPC dan OpenDoc, terdapat satu lagi pembangunan: kemunculan World Wide Web. BBEdit mempunyai model pasang masuk pada ketika itu, dan dua orang pelanggan kami—seorang di UK dan seorang di Sepanyol—secara bebas menulis peralatan penanda HTML. Ketika itu adalah pada tahun 1995, dan kami tidak tahu apa itu HTML, tetapi kami dapat menjangkakan yang ia mampu pergi jauh. Jadi kami menilai alat itu, pilih satu set untuk dipakejkan bersama BBEdit, dan kami pun terus melancarkannya. Namun, tanpa kami sedari...
BBEdit merupakan salah satu app yang paling digemari di luar sana. Pada pendapat anda, mengapa ia jadi begitu?
Kami sentiasa menghormati para pengguna kami. Setiap keputusan dalaman tentang rupa dan fungsi menjawab persoalan "Apakah yang diperlukan oleh pelanggan?" dan "Bagaimana kami dapat membantu mereka menjadi lebih produktif?" (Bukan "Bagaimana kami dapat memberikan apa yang pelanggan minta?" kerana itu bukan soalan yang betul untuk dijawab). Macintosh diperkenalkan untuk membantu sesiapa sahaja melakukan perkara yang hebat. Itulah sesuatu yang kami percaya sepenuhnya.