Lubang semakin banyak muncul di seluruh Donut County. Lubang tersebut menelan tumbuhan, haiwan peliharaan dan semua benda lain dalam versi Los Angeles gaya kartun ini. Malah, lubang itu juga terus membesar.

Malapetaka yang hebat sekali! Tetapi dengan menjadikan anda masalah dalam permainan ini—anda memainkan peranan lubang benam yang berkeliaran di atas skrin—pencipta Donut County, Ben Esposito, telah menggali keluar antara premis permainan bebas terhebat yang pernah muncul.
Anda bermula secara sederhana dengan memakan logo permainan, kemudian beberapa tiang pagar, kemudian pengirim surat itik malang (salah satu daripada banyak watak seakan haiwan) yang menaiki skuter. Tidak lama selepas itu, anda akan menelan kereta dan rumah.

Helah baru yang seronok juga muncul. Anda akan memakan bunga api yang baru dinyalakan dengan lahapnya, selepas itu menghalakan apinya ke arah sasaran. Setelah anda mendapat naik taraf lastik, anda juga boleh melancarkan katak, kotak dan objek lain untuk menyelesaikan teka-teki yang bijak.
Di atas gaya permainan yang dungu ini ialah kisah yang lucu dan aneh untuk menyerap anda masuk. Penghuni Donut County sememangnya tidak begitu gembira dengan BK, iaitu rakun kurang bijak yang memanggil lubang di bawah kawalan anda.

Cara BK menangani aduan mereka—di samping cara dia membalas—membawa aksi permainan ini ke tempat yang mengejutkan lagi memuaskan.