PANDUAN MENDALAM

Kelas ilustrasi terunggul

Victo Ngai berkongsi proses ilustrasinya menggunakan Procreate.

Karya lukisan Victo Ngai yang bernilai tinggi dan rumit selalu sahaja terpampang di The New York Times, GQ serta kempen Apple. Pelukis yang berpangkalan di Los Angeles ini menceburi semua jenis media namun sejak akhir-akhir ini, beliau menumpukan pada app rekaan Procreate untuk menggarap karya agungnya.

“Seni Cina sering menerapkan unsur abstrak,” ujar Ngai. “Saya pula lebih berminat dengan cara orang menghayati hasil seni saya dan bukannya untuk meyakinkan mereka bahawa inilah realiti yang sebenar.”

Pada awal tahun ini, Ngai telah menjelajah Semenanjung Dingle di pesisir pantai Ireland dan kembali dengan sumber inspirasi yang baharu. “Saya mendapati interaksi antara batuan keras dengan lautan begitu menarik,” kata beliau. “Permukaan batu keras sering dilitupi lumut tebal yang lembut, sekali gus menjadikannya subjek yang bagus untuk kajian tekstur.”

Di sini, pelukis ini menunjukkan kepada kita cara beliau menggunakan Procreate untuk mengubah gambar menjadi satu hasil kerja beliau yang menakjubkan. (Jika anda kesuntukan masa, tonton seluruh proses yang dikupas dalam video ini.)

“Saya sangat tertarik dengan tekstur batu yang dramatik, jadi saya bermula dengan media analog: dakwat akrilik, berus dan kad kulit keras.”
“Bentuk besar yang ringkas selalunya merupakan cara yang bagus untuk bermula. Di sini, saya menggariskan gunung dan menggunakan fungsi Color Autofill Procreate. Pengisiannya tidaklah selalunya tepat—lebih-lebih lagi jika garisannya ada sisi yang kabur—namun ia agak mudah untuk dibersihkan secara manual.”
“Setelah kesemua bentuk besar tersusun pada tempatnya, saya memperhalusnya menggunakan alatan Transform. Saya sangat menyukai alatan Warp, yang membolehkan saya membuat perubahan dalam masa yang singkat.”
“Saya mengambil gambar tekstur yang saya hasilkan di atas kertas dan mengimportnya ke dalam Procreate. Kemudian, saya mengubah foto tersebut menjadi imej hitam putih supaya saya dapat menggunakan alatan Automatic Selection untuk mengasingkan dan memadam kawasan putih .”
“Saya telah menambah garisan pepenjuru untuk menyerlahkan tekstur batu. Untuk menerapkan kontras pada garisan lurus batu tersebut, saya mengolah lumut menjadi bentuk bujur. Saya menetapkan lapisan garisan lumut sebagai lapisan Reference, jadi saya dapat menggunakan fungsi Color Autofill pada lapisan bawah sambil mengekalkan lapisan garisan lumut.”
“Menurunkan kadar kelegapan pada batu yang jauh meningkatkan perspektif atmosfera, lantas memisahkan batuan tersebut dari latar hadapan dan menjadikannya kelihatan lebih jauh.”
“Di sini saya menggunakan berus arang 2B termampat untuk memudahkan saya menonjolkan sifat lumut tersebut. Dengan menggunakan alat Selection, saya mengasingkan bentuk bujur (secara individu dan kumpulan), jadi saya dapat menambahkan penyerlah dan menghasilkan paparan tiga dimensi.”
“Saya menggunakan keamatan yang berbeza ketika mewarna setiap bahagian rumput berlumut, yang akan mengubah tahap kepekatan warna hijau yang sama. Satu ilusi tercetus yang menyebabkan sebahagian rumput itu tampak menonjol dan menangkap lebih banyak cahaya.”
“Warna hijau yang saya gunakan mengandungi terlalu banyak rona biru, jadi saya menggunakan alatan Hue/Saturation/Brightness untuk meluncurkan warna itu agar mendekati warna kuning. Sekarang, hijaunya lebih menyamai warna kegemaran Ireland. Kemudian, saya memilih setiap bentuk bujur dan menukarkannya kepada warna sekunder, lantas memperkayakan rona warna lumut.”
“Salah satu ciri kegemaran saya dalam Procreate ialah alatan Quick Shape—mudah sekali untuk saya membuat bentuk bulat. Saya cuma perlu lukis bulatan seperti biasa, namun tanpa melepaskan Pencil. Apabila selesai, bentuk bulat yang sembarangan itu akan bertukar menjadi bentuk simetri yang sempurna. Sekiranya saya masih belum melepaskan pensel, saya boleh melaraskan saiz, memutar dan menggerakkan bulatan saya (dan jika saya menekan satu jari tangan yang lain pada skrin sambil menggunakan pensel, bulatan itu akan berubah bentuk semula). Apabila saya mengangkat Pencil, butang Edit Shape akan muncul di bahagian tengah atas kanvas.
Inilah karya yang telah siap!