BERTEMU PARA KREATIF

Revolusi Tatu

Cara Procreate mengubah industri artis ini buat selama-lamanya.

Model perniagaan yang tidak terbilang banyaknya telah diubah oleh media digital, tapi tiada bidang lain yang amat terjejas berbanding industri tatu.

Dunia yang sebelum ini penuh dengan kertas surih dan pensel telah beralih kepada digital—yang bermakna beg galas yang dahulunya membawa buku nota lakaran, kini telah digantikan dengan iPad.

Mujurlah ada app seperti Procreate yang membolehkan para artis melapiskan rekaan mereka ke atas gambar kulit pelanggan, menunjukkan rupa yang bakal terhasil dengan segera.

Holly Ellis ialah pemilik kedai tatu Idle Hand di bandar San Francisco. Seperti artis tatu yang lain, pada mulanya Ellis teragak-agak untuk menggunakan Procreate, tapi dia tertawan dengan kemudahan app itu serta sifat mesra ekologinya.

"Saya biasa menggunakan kertas yang banyak," ujarnya. "Jika saya mencacah tatu besar pada lengan atau tatu besar yang lain, saya akan mula dengan menggunakan Photoshop dan akhirnya akan menggunakan kertas yang banyak. Memang bagus apabila Procreate dapat mengurangkan penggunaan kertas."

Seperti semua pelukis di kedai tatunya, Idle Hand di San Francisco, Holly Ellis telah bertukar kepada Procreate.

Kini, setiap artis di galeri sibuk menggunakan Procreate dan karya mereka dipaparkan di segenap ruang dinding yang ada (yang semakin sedikit). Kami duduk dan bersembang dengan Ellis tentang meja pejabatnya untuk mengetahui bagaimana Procreate mengubah cara dia mendekati seninya.

Bagaimana anda mulakan pertemuan pertama dengan pelanggan baharu?

Mula-mula sekali, saya akan keluarkan iPad dan tunjukkan idea saya. Saya kurang gemar hantar lukisan melalui e-mel, saya lebih suka mereka datang ke kedai.

Jika saya perlu melihat bagaimana corak itu dapat dimuatkan pada anggota badan mereka, saya akan mencetak dan meletakkannya pada kawasan tubuh yang mereka inginkan. Namun, jika perlu mencacah di celah-celah tatu yang lain, saya hanya perlu mengambil gambar (bahagian anggota badan itu) dan masukkannya ke dalam iPad saya. Jika saya melakukan penelitian warna, saya boleh mengambil gambar lengan pelanggan itu, kemudian warnakannya.

Bagaimana lagi Procreate dapat memudahkan tugas anda?

Saya boleh mengambil potongan imej yang berbeza dan menyatukannya. Sebelum ini, saya perlu mencari gambar item pertama, kemudian gambar item kedua, seterusnya menampalkan kedua-duanya untuk disurih. Jika saya perlu membesarkan atau mengecilkan gambar, hasilnya akan mudah terherot.

Saya boleh meregangkan imej dalam Procreate, ia sangat membantu. Ia tidak dapat dilakukan dengan kertas.

Tatu harimau yang rumit ini bermula dengan Procreate.

Pernahkah pelanggan berubah fikiran apabila melihat contoh pada iPad?

Kadangkala. Ada kalanya, mereka akan memberi lebih banyak input selepas melihatnya. Kadangkala lukisan itu mungkin tak nampak menarik, tapi mereka percayakan saya dan tahu bagaimana saya akan hasilkannya.

"Saya biasa menggunakan kertas yang banyak," ujar Ellis. Kini, tidak lagi.

Bagaimana anda menyimpan semua karya yang anda telah hasilkan?

Saya menyimpan semua lukisan di sini, jadi saya dapat buat rujukan apabila mahu menggunakannya semula atau mahu mendapatkan ilham. Dalam tatu tradisional, kebanyakan lukisan adalah sama; jadi anda boleh menggunakan asas rekaan itu, seperti kepala gadis untuk menghasilkan sesuatu yang baharu. Ia juga lebih baik untuk pelanggan saya kerana mereka tak perlu menunggu lama!