Bagi sesebuah permainan, Zen Koi 2 amat menenangkan. Anda bermula di dalam kolam, berayun mengikut arus air. Setiap aspek permainan bekerja untuk membina ketenangan: dari runut bunyi yang halus hingga pergerakan lembut ikan semasa berenang.

Paul Naylor dari syarikat LandShark Games di Singapura menjelaskan cara pergerakan itu dicipta: "Kebanyakan permainan ikan menggunakan animasi sama untuk berenang yang kelihatan kaku semasa ikan itu membelok," katanya, "Saya mendapat inspirasi dari dua sumber, laporan penyelidikan tentang formula matematik untuk pergerakan semasa berenang bagi ikan robot, dan juga pembelokan lancar makhluk-makhluk dalam permainan 'flOw'."
Ia bukan sekadar pembelokan lancar, kerana ada muslihatnya apabila anda mendapat pelawat koi. Sambil koi anda berenang dengan tetamunya, telur koi mungkin muncul dan menghasilkan koi dalam corak dan warna berbeza. Kami dengar terdapat lebih 500 kombinasi warna untuk dikumpul.

Seperti ikan yang lain, koi anda perlu makan untuk membesar. Tetapi berhati-hati, kerana menangkap mangsa di dalam kolam tidak semudah yang disangka. Ia bergerak mengikut corak berbeza. Jika anda tangkap bilangan tertentu, anda akan dapat membuka kunci permata yang perlu dibawa ke simbol yang terletak di dalam kolam. Jika anda berjaya, kolam anda akan menjadi lebih besar, dan ini membawa anda lebih dekat kepada peningkatan koi anda menjadi naga. Namun, permainan tidak berakhir di situ.
"Salah satu motivasi utama di sebalik penciptaan Zen Koi 2 ialah mencipta naga yang boleh dimain, yang bebas berkeliaran di alam semesta. Pemain boleh mengawal naga mereka dan menyambungkan bintang-bintang menjadi buruj tersuai yang boleh dikongsi," kata Naylor.
Juga, naga akan memberikan anda intipati yang boleh dikumpul untuk mencantikkan kolam anda dengan batu yang berlumut.

Jangan terkejut apabila skrin mula berkelip ketika koi anda berenang di atas tumbuhan merah—anda tidak boleh "mati" di dalam permainan ini. Jelas Naylor lagi, "Dengan begitu banyak permainan di luar sana yang menghukum anda jika anda membuat kesalahan, kami terfikir ada tempatnya untuk permainan yang anda boleh main sesuka hati."
Jadi, jika anda berasa tertekan semasa bekerja atau perjalanan ulang-alik, berehat sebentar dengan Zen Koi 2.