

Keperluan Tukang Masak
App-app ini ialah pelengkap terbaik buat matlamat kulinari anda.
Naluri, kreativiti, kesabaran… Apakah perkara yang membezakan cef yang handal dengan tukang masak yang mahir? Semestinya ada lebih daripada satu jawapan, tapi keinginan untuk belajar sesuatu yang baharu setiap hari dan semangat berkobar-kobar untuk mengetahui selera tempatan yang terbaik, bahan-bahan yang segar dan pasar adalah antara keperluan yang penting.
Terdapat banyak app untuk membantu anda memasak—walau apa jua tahap anda—sama ada app itu membantu anda mencari bahan terbaik atau menguasai resipi baharu. Cubalah app-app ini dan jadikannya app wajib guna dalam pengembaraan kulinari anda.
Hasilkan senarai membeli-belah anda
Semestinya resipi anda mempunyai beberapa ramuan rahsia yang menjadikan masakan anda luar biasa enaknya. Jejak ramuan-ramuan dan apa jua bahan yang anda perlukan dengan Paprika Recipe Manager 3.
App ini mengatur secara automatik senarai membeli-belah anda mengikut jenis produk agar anda dapat melihat, contohnya, jenis bahan tenusu yang anda telah senaraikan. Gunakan Paprika Recipe Manager 3 untuk mengatur resipi-resipi anda dan merancang menu anda untuk minggu atau bulan akan datang, dan semuanya disegerakkan merentasi peranti anda.

Dapatkan inspirasi
Jika kreativiti anda di dapur terbantut seketika, beralihlah kepada Cookpad. Dengan ribuan resipi yang menyelerakan, anda pasti akan dapat mencari inspirasi yang diperlukan.
Dalam menu Cari app ini, anda boleh melayari pelbagai jenis kategori dan cuba resipi-resipi yang menarik minat anda. Sekiranya anda mempunyai resipi yang ingin dikongsi, muat naik resipi itu ke dalam app untuk dilihat oleh pengguna lain.

Tetapkan masanya dengan tepat
Ikan di dalam ketuhar, 20 minit; tumiskan bawang di atas kuali, lima minit… Menjejak masa memasak untuk pelbagai bahan secara serentak mungkin agak mencabar, tapi dengan MultiTimer, anda boleh menetapkan, menamakan dan melihat sehingga enam pemasa pada skrin anda.
Apabila masa sudah tamat, app tersebut akan memaklumkan anda agar anda dapat mengkoordinasikan hidangan anda dengan sempurna. Berguna buat orang yang mudah hilang fokus.
